Sunday 10 August 2008

Adakah Manusia Memerlukan Pujian?

by bint_bakri87

1.15 a.m.


"Pandainya anak ibu lukis ni ,esok lukis cantik-cantik lagi ye sayang…" Ini merupakan contoh pujian yang diberikan oleh seorang ibu kepada anaknya yang baru belajar melukis. Adakah salah perbuatan ibu ini? Jawapannya pastilah TIDAK. Ini kerana pujian si ibu ini merupakan peransang kepada si anak kecil untuk terus cuba melukis dan melukis lukisan yang lebih cantik pada hari yang berikutnya.




Begitulah manusia. Memerlukan pujian untuk mendapatkan semangat dan motivasi bagi memperbaiki apa sahaja yang dilakukannya pada masa yang akan datang. Pujian yang paling ringkas dari seorang majikan kepada pekerja yang baru memulakan kerja walaupun hanya mengatakan " Good try" pasti akan memberikan peransang kepada pekerja untuk mempamerkan hasil kerja yang lebih baik lagi. Bukankah ini membawa keuntungan kepada majikan itu sendiri?




Tetapi, pujian haruslah diberikan kepada yang layak menerimanya. Janganlah memberi pujian yang melampau sehingga menyebabkan si penerima pujian merasa ri'ak dan berada di "zon selesa". Diriwayatkan dalam sebuah hadis bermaksud: “Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji lelaki lain dan berlebih-lebih dalam pujiannya, maka Rasulullah berkata: ‘Kamu telah merosakkannya dan telah memotong belakangnya (seolah-olah)’.” ( Riwayat Al-Bukhari, no 2663 ). Imam Al-Khattabi ketika menghurai hadis di atas berkata: “Barang siapa memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat yang sama sepertinya, ia tidaklah termasuk dalam kategori ‘maddah’ iaitu yang pemuji terkeji.” (Ma’alim as-Sunan)[1]


Walaupun begitu, apa yang dilakukan oleh seseorang individu memerlukan kritikan supaya individu ini dapat membaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukan. Dalam kita mengkritik pula,kita perlu pandai bermain dengan emosi manusia supaya kritikan kita menjadi kritikan membina dan membantu bukan membantutkan usaha seseorang. Jika kita ingin megkritik, kita boleh memulakan kritikan dengan pujian yang sederhana sebelum mengkritik. Sebagai contoh, kita boleh katakan seperti ini, " Bagus tapi saya rasa, awak boleh baiki dan kemaskinikan lagi kertas kerja ini, saya nampak ada sedikit kesalahan di bahagian kewangan. Nah! Bukankah sedap jika kita mendengar kritikan seperti ini. Si pendengar pun tidak akan berasa sakit hati dan menerima kritikan dengan hati yang terbuka.




Teori memberi pujian yang sederhana dan kritikan yang membina sebenarnya boleh diaplikasikan dalam semua aspek kehidupan. Tidak kira suami isteri, ibu bapa dengan anaknya, majikan dan pekerjanya, guru dengan anak muridnya, sesama rakan mahupun siapa sahaja. Percayalah bahawa cara ini akan mendatangkan keharmonian di dalam setiap perhubungan. Jadi, mulalah belajar menghargai usaha orang lain. Selamat mencuba!



[1] http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Ekspresi/20080629105132/Article/indexv_html

1 comment:

Ain Mardhiah said...

salam ziarah kak chik! ^_^